Categories : Jenayah

 

KEBAKARAN memusnahkan blok rumah panjang yang mempunyai 15 unit kediaman di Uma Badeng, Sungai Asap, Belaga petang tadi. – Foto ihsan bomba

BELAGA : Lebih 100 penghuni Blok N, Rumah Panjang Uma Badeng di skim penempatan semua Sungai Asap di sini, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu dipercayai bermula dari unit kediaman di bahagian tengah rumah panjang berkenaan sebelum merebak ke kediaman lain di kiri dan kanannya.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah panjang lain yang terletak berhampiran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.38 petang.

KEBAKARAN memusnahkan blok rumah panjang yang mempunyai 15 unit kediaman di Uma Badeng, Sungai Asap, Belaga petang tadi. – Foto ihsan bomba

Berikutan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju, Bintulu dikejarkan ke tempat kejadian yang memerlukan masa perjalanan selama dua jam setengah.

“Lokasi kejadian adalah kawasan penempatan semula masyarakat Kenyah berdekatan dengan Empangan Hidro Bakun dan mempunyai banyak blok rumah panjang.

“Tindakan pantas anggota PBS setempat berjaya mengelak kejadian lebih buruk kerana struktur semua rumah yang dibina daripada kayu dan mudah terbakar,” katanya.

Ling Hii berkata, sehingga jam 8 malam ini anggotanya masih berada di lokasi kejadian dan setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk memgenalpasti punca kejadian dan mentaksir kerugian yang dialami penduduk,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp