Categories : Semasa

 

SETIU: Seramai 14,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang penganjuran Sukan SEA ke-29 atau Kuala Lumpur 2017 yang bakal berlangsung Ogos depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (Gerakan) Datuk Azizan Abd Aziz berkata, kesemua mereka ditugaskan menjaga keselamatan dan memastikan suasana terkawal sepanjang acara temasya berlangsung.

Katanya pasukan keselamatan akan ditempatkan di lokasi tumpuan di Kuala Lumpur seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan juga gelanggang sukan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Pada masa yang sama, kami turut menggembleng kekuatan anggota dan pegawai polis ini di venue lain seperti di Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah.

“Selain kekuatan tenaga, segala aset yang ada juga telah bersiap sedia untuk digunakan pada sukan itu nanti, bermula 19 hingga 30 Ogos ini,” katanya.

Azizan berkata demikian kepada pemberita selepas Latihamal Ex-Rimau PDRM 2017 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di sini, hari ini.

Dalam siri latihan itu, seramai 371 anggota dan pegawai PDRM berkampung di situ sejak Ahad lalu hingga hari ini.

Ia dilaksanakan di kawasan itu berikutan TIEP terpilih sebagai venue bagi acara ekuestrian pada temasya dwitahunan itu nanti.

Azizan berkata latihan itu dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi sebarang krisis dan ancaman yang mungkin berlaku sepanjang acara itu berlangsung.

“Bengkel dan kelas diadakan berdasarkan senario yang dijangka berlaku pada temasya sukan itu nanti dan menjadi ujian melihat keberkesanan perancangan dan tindakan pihak polis bagi menghadapi ancaman keselamatan,” katanya.

Azizan berkata setakat ini, tiga latihan serupa sudah dilaksanakan iaitu di Bukit Jalil, Langkawi dan Setiu. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp