Categories : Sukan

 

BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. – Foto Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya melunaskan dendam mereka apabila menewaskan  juara Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia pada aksi pusingan pertama Terbuka Australia di Sydney, sebentar tadi.

Kian Meng-Pei Jing yang tewas kepada Tontowi-Liliyana ketika aksi suku akhir Terbuka Indonesia minggu lalu melakar kemenangan  21-17, 21-16 dalam tempoh 39 minit.

“Saya rasa Tontowi-Liliyana penat kerana mereka baru muncul juara Terbuka Indonesia (Ahad lalu). Namun, kami hanya fokus mata demi mata dan cuba buat yang terbaik.

“Kami tidak mahu alasan kami kalah kepada mereka minggu lalu berulang lagi. Kali ini kemenangan memihak kepada kami dan kami gembira dapat menewaskan juara Olimpik,” kata Pei Jing ketika dihubungi di Sydney sebentar tadi.

Pasangan ke-10 dunia itu akan bertemu beregu Jepun, Yugo Kobayashi-Misaki Matsutomo untuk aksi pusingan kedua, esok.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut cemerlang apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Sayaka Hirota 14-21, 21-19, 21-14.

Mereka akan berdepan sama ada gandingan Australia, Jacob Schueler-Celeste Lee atau Hendra Tandijaya-Sekartaji Putri dari Indonesia dalam perebutan tempat ke suku akhir esok.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp