Categories : Jenayah

 

DR Mah Hang Soon

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri  Perak mengesahkan dua kanak-kanak yang digigit seekor anjing di Kuala Sepetang, Taiping pada 4 Julai lalu bebas daripada wabak anjing gila atau rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 11 dan 12 tahun disahkan sihat tanpa sebarang penyakit lain.

Katanya, dua mangsa itu digigit anjing peliharaan keluarga di bahagian kulit hingga menyebabkan kedua-duanya luka dan berdarah.

“Selepas 11 hari mendapatkan rawatan di Hospital Taiping, kedua-dua kanak-kanak berkenaan disahkan sihat dan luka akibat gigitan anjing sudah sembuh.

“Kedua-duanya tidak mengalami tanda-tanda sebarang penyakit lain dan kita telah memeriksa mangsa kelmarin dan semalam bagi pemeriksaan susulan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, suntikan vaksin sudah diberikan kepada dua mangsa itu dan pihaknya memantau perkembangan kesihatan mereka dari masa ke semasa.

Katanya, pihaknya memandang serius kes wabak berkenaan dan tindakan segera diambil bagi memantau situasi kes terbabit di negeri ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), seekor anjing peliharaan yang mati lapan hari selepas menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuan pemiliknya di Kuala Sepetang, Taiping disahkan positif wabak rabies.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp