Categories : Jenayah

 

KEADAAN kereta PERODUA Viva yang remuk akibat dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Pelangi Semenyih 2, dekat Kajang, hari ini. – Foto ihsan Bomba

KAJANG: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) antara dua mangsa maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Pelangi Semenyih 2, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, sebuah PERODUA Viva dinaiki tiga orang termasuk dua beradik dirempuh lori yang melanggar isyarat lampu merah persimpangan itu.

Kejadian menyebabkan dua penumpang kereta maut, manakala pemandunya parah.

Penumpang hadapan, Izzaq Syameer Ifwan Suhaimi, 26, yang juga seorang OKU dan Sha’ari Nuruddin, 63, yang duduk di belakang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta, Nur Irine Ashweena Suhaimi, 24 , cedera parah dan dihantar ke Hospital Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata saksi mendakwa pemandu lori tidak berhenti walaupun lampu isyarat di laluannya bertukar merah.

“Pada masa sama, PERODUA Viva dinaiki mangsa dari arah bertentangan membelok ke arah kanan selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.

“Rempuhan menyebabkan sisi kiri PERODUA Viva itu remuk dan dua mangsa terbabit tersepit di tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

IZZAQ Syameer Ifwan Suhaimi meninggal dunia di tempat kejadian.

Selepas merempuh kereta mangsa, katanya, pemandu lori terbabit bergegas ke Balai Polis Semenyih membuat laporan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp