Categories : Sukan

 

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim. – Foto NSTP/Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghulur insentif RM7,000 kepada Khairul Hafiz Jantan atas kejayaannya memecahkan rekod lama 100 meter milik Watson Nyambek di sini, sebentar tadi.

Khairul Hafiz, muncul penerima tertinggi mengatasi jaguh lempar cakera negara, Muhamad Irfan Shamsuddin (RM 3,000) serta 18 atlet lain yang berupaya memecah rekod sepanjang 2015-2017.

Selain Khairul Hafiz dan Irfan, beberapa atlet cemerlang lain turut menerima ganjaran antaranya atlet tukul besi, Jackie Wong dan Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar).

Turut menerima habuan ialah kuartet 4x100m wanita terdiri daripada Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang memperbaharui rekod di Kejohanan Trek & Balapan Asia, baru-baru ini.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, berkata insentif itu diharap mampu meningkatkan semangat atlet menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang menyingkap tirainya pada 19 Ogos depan.

“Memang Irfan memecahkan rekod sebanyak tiga kali dalam tahun ini, bermakna dia sepatutnya menjadi penerima tertinggi.

“Namun, harus kita ingat Khairul Hafiz meleburkan rekod berusia 18 tahun milik Watson Nyambek pada SUKMA tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri KOM di sini, hari ini.

Karim berkata, sebanyak RM 35,000 diperuntukkan oleh pihaknya bagi insentif membabitkan 20 atlet itu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp