Categories : Sukan

 

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membawa Obor Sukan SEA tiba di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh dalam program larian penyerahan Obor Sukan SEA di sekolah itu Kota Bharu. – Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kira-kira 2,000 penduduk dan belia sekitar Parlimen Ketereh menyertai larian 11.5 kilometer (km) sempena Larian Obor Sukan SEA 2017 di sini, hari ini.

Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, obor itu diterima daripada Ketua Pejabat Tanah dan Jajahan Machang, Mohd Zainuddin Mohamed oleh Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Mohd Azam Ismail yang membuat larian sehingga ke Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

Katanya, larian diteruskan di Pasar Keterah dan diambil alih beliau sehingga ke padang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh.

“Kita sudah biasa buat program berjalan bersama rakyat, dan ini satu usaha yang baik bagi merakyatkan sukan di negara ini.

“Malaysia sudah acap kali menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dan pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, jadi saya rasa tahun ini kita juga akan jadi hos terbaik,” katanya ketika ditemui dalam program larian penyerahan Obor Sukan SEA di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini, hari ini.

Yang turut hadir sama, Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Nazri Yaacob dan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azam Ismail.

Annuar berkata, dia juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan atlet yang terbabit dalam sukan itu nanti.

Sehingga kini, larian obor Sukan SEA sudah melalui Jajahan Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Larian akan diteruskan ke Bachok dan Pasir Puteh membabitkan jarak hampir 30 km.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp