Categories : Semasa

 

POLIS menahan tiga individu bergelar Datuk yang terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing dalam serbuan berasingan di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur, 10 Febuari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, semua suspek berusia 35 hingga 49 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima 116 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM6.2 juta yang dilaporkan di seluruh negara berhubung kegiatan sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 13 kereta mewah, tiga motosikal berkuasa tinggi, 10 emas seberat 100 gram setiap satu, pingat penganugerahan Datuk, pelbagai dokumen dan beg serta jam tangan berjenama.

“Sebanyak 116 laporan diterima sejak Ogos 2016 hingga Febuari 2018 membabitkan kerugian berjumlah RM6.2 juta berhubung kegiatan sindiket ini dengan 30 kertas siasatan dibuka. Namun kami menganggarkan lebih 70,000 mangsa dengan kerugian sebanyak RM1 billion terbabit dengan sindiket ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pihaknya turut membekukan 38 akaun bank milik 17 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu berjumlah RM624,000.

“Kami turut membeku aset iaitu banglo bernilai RM5 juta milik seorang daripada suspek dan kereta Ferrari dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

“Semua aset dan barangan yang dirampas serta dibekukan dalam kes ini dianggarkan bernilai RM10.5 juta,” katanya.

AMAR Singh Ishar Singh (tiga kiri) menunjukan barangan rampasan. FOTO Syarafiq Abd Samad

Amar berkata, modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak 2013 itu adalah mempromosikan pelaburan berkenaan melalui laman Web dengan menawarkan pulangan lumayan sebanyak 12 peratus setiap bulan.

“Suspek memperdaya mangsa supaya membuat pelaburan perniagaan berkonsepkan pertukaran mata wang asing atau forex dengan mengadakan seminar di hotel.

“Malah, suspek juga menggunakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain membabitkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk,” katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu suami isteri yang juga dalang utama dalam sindiket penipuan pelaburan forex berkenaan.

“€œKami memburu Datuk Pandeyan Maruthamuthu, 55, dan isterinya, Datin Gouri C. Faskuny, 56, yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran, Ahad lalu sebaik serbuan dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terjebak dengan pelbagai tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat.

“Sila dapatkan pengesahan dan semakan dengan agensi berkaitan sebelum menyertai sebarang skim pelaburan.

“€œBagi mereka yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini, diminta tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp