Categories : Jenayah

 

PETALING JAYA: Tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes samun hingga menjadi viral di media sosial baru-baru ini, ditahan Selasa lalu.

Kes samun berlaku pada 31 Januari lalu, membabitkan dua mangsa iaitu wanita berusia 30 dan 35 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan 22/53 Seapark, dekat sini.

Satu rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman mangsa, merakam tindakan seorang suspek lelaki yang secara tiba-tiba datang ke kediaman itu sebelum meragut mangsa.

ASISTEN Komisioner Mohd Zani Che Din. – Foto Eizairi Shamsudin

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia antara 26 hingga 30 tahun itu ditahan di lokasi berasingan, dengan suspek pertama ditahan pada jam 11.50 malam, 7 Februari lalu di sebuah stesen minyak.

“Penahanan suspek pertama membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Taman Desa Ria dan Kampung Pasir Baru,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, pihaknya menerima tujuh laporan kes samun di sekitar kawasan itu antara 23 Disember tahun lalu hingga 2 Februari lalu.

Beliau berkata, suspek dikatakan bergerak secara berkumpulan menggunakan kereta Myvi berwarna putih, dengan sasaran mangsa wanita.

“Suspek menyerang mangsa yang keluar dari kereta atau rumah, di tepi jalan dan tempat letak kenderaan.

“Siasatan polis mendapati semua suspek terbabit dalam kes samun di sekitar Petaling Jaya dan Brickfields.

“Selain itu, polis turut merampas dokumen mangsa, kad Touch n Go, sebuah kereta Myvi, pendrive dan kad bank milik suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan manakala suspek direman sehingga 15 Februari ini.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp