Categories : Jenayah

 

SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan ketika sidang media OP Sarang Khas di Dewan Badminton Alor Akar. – Foto Muhammad Asyraf Sawal

KUANTAN: Seramai 305 penagih dan pengedar dadah ditahan dalam Ops Sarang Khas yang dilaksanakan di seluruh negeri ini bermula semalam sehingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat, berkata operasi itu membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

Beliau berkata, operasi turut dibantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Sukarelawan Simpanan.

“Semua suspek berusia antara 19 hingga 56 tahun ditahan dengan 14 daripadanya melakukan kesalahan mengedar dadah dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

“Seramai 37 suspek lagi ditahan kerana memiliki dadah manakala 201 lagi kerana kesalahan ujian air kencing positif,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Thiam Huat berkata, pihaknya turut merampas 219.8 gram heroin, syabu (30.04 gram), ganja (7.16 gram), air ketum (1.7 liter), daun ketum (700 gram) dan masing-masing lima biji pil kuda serta Erimin 5.

“Turut dirampas dua laras senapang buatan sendiri bersama 209 bebola besi, sebilah pedang samurai, sebuah buku lima, sebilah pisau dan sebilah mata gunting pokok yang sudah diubah suai.

“Operasi berkenaan turut menemui tiga motosikal yang dilaporkan dicuri di Rompin, Temerloh dan Jerantut,” katanya.

Dalam kes berasingan, Thiam Huat berkata, pihaknya menahan dua lelaki dari Pulau Pinang yang cuba mengedar dadah jenis heroin seberat 2.26 kilogram (kg) di Bentong, Rabu lalu.

“Dadah bernilai RM56,000 itu dipercayai cuba dibawa masuk untuk dijual di kawasan tanah rancangan FELDA di sekitar Temerloh dan Maran. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp