Categories : Semasa

 

MANGSA banjir, Zainon Ali (kiri) menemani cucu perempuannya Nur Hidayu Karim (kanan) bersama suami, Mohammad Aizat Abdul Razak (dua dari kiri) dan dua cicitnya, Rayyan Rizqin Aizat, (tengah) dan Riyadh Rizqin Aizat (dalam pangkuan) di Pusat Pemindahan Banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan, Jasin, Melaka. – Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Seramai 40 orang membabitkan 10 keluarga mangsa banjir masih ditempatkan di dua Pusat Pemindahan (PP) di Jasin sehingga jam 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Melaka, Leftenan Kolonel Effendy Ali, berkata dua PP yang masih dibuka sejak pagi semalam ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan dan SK Chohong.

“Setakat malam ini, 13 mangsa membabitkan 3 keluarga dipindahkan di SK Asahan, manakala 27 mangsa membabitkan tujuh keluarga yang terjejas ditempatkan di SK Chohong,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, tiga kampung yang terjejas di daerah Jasin akibat banjir ini ialah Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong dan Kampung Sungai Dua.

Sementara itu, Effendy berkata sebuah PP di balai raya Gadek, Alor Gajah yang dibuka sementara malam tadi sudah ditutup, manakala seorang mangsa sudah dibenarkan pulang.

Hujan lebat sejak Ahad lalu mengakibatkan beberapa kawasan rendah terutama di kampung yang berdekatan dengan tepi Sungai Relau, Sungai Asahan dan Sungai Chohong mula dinaiki paras air sehingga mencecah setengah meter tinggi.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp