Categories : Jenayah

 

ANGGOTA TLDM KD selangor turut menggunakan teropong selain memerhatikan dengan mata kasar untuk meninjau kawasan perairan ditetapkan dalam operasi SAR, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Pulau Mengalum. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Kapal Diraja (KD) Selangor adalah antara lima aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa bot pelancong karam di perairan Sabah.

Kapal perang yang berpangkalan di Lumut, Perak itu terbabit dalam operasi SAR bersama pesawatnya, helikopter Fennec, sejak kelmarin, manakala tiga lagi aset TLDM ialah dua bot tempur CB 205 dan CB 211 serta kapal KD Jerung menyertai SAR yang kini memasuki hari kelima.

Rombongan media yang menyertai KD Selangor dalam operasi SAR lebih 10 jam di perairan Sabah hari ini, bergerak dari Jeti Pangkalan TLDM di Sepanggar di sini, pada jam 7 pagi. Aset TLDM melakukan operasi SAR di Sektor A yang terletak kira-kira 105 batu nautika dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, dan Sektor E (45 batu nautika) dengan masing-masing membabitkan kawasan seluas lebih 400 batu nautika persegi.

Keadaan operasi hari ini termasuk di sekitar perairan Pulau Mengalum, iaitu lokasi di mana bot katamaran yang membawa 31 orang termasuk 28 pelancong China dilaporkan karam, Sabtu lalu, agak baik kerana keadaan laut yang agak tenang dan sedikit bergelora.

Ia sekali gus memudahkan operasi SAR oleh kapal itu, selain penggunaan pesawat Fennec untuk melakukan pemantauan di sekitar lokasi bot karam berkenaan.

Panglima Wilayah Laut II dan juga Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob (dua kiri) bersama Pegawai Memerintah KD Selangor, Komander Norfazli Jaafar melihat peta kawasan operasi SAR yang dilaksanakan oleh TLDM di Kapal KD Selangor.

Panglima Wilayah Laut II yang juga Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob, berkata TLDM antara pasukan yang membantu operasi SAR yang diterajui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“TLDM memberi penekanan serius dan komited dalam membantu operasi SAR ini dan kami membawa KD Selangor untuk membantu, khususnya di kawasan laut terbuka kerana kapal ini dilengkapi peralatan yang moden.

“Kira-kira 150 anggota TLDM terbabit dalam operasi SAR ini,” katanya kepada rombongan media yang menyertai operasi SAR KD Selangor, hari ini. Yang turut hadir, Pegawai Memerintah KD Selangor, Komander Norfazli Jaafar.

Dalam operasi itu, anggota TLDM KD selangor turut menggunakan teropong, selain memerhatikan dengan mata kasar untuk meninjau kawasan perairan ditetapkan.

Rombongan media turut melalui lokasi dipercayai menjadi laluan bot katamaran terbabit karam.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp