Categories : Semasa

 

DATUK Ab Aziz Kaprawi berucap pada pelancaran ‘Dry Run’ UMNO Sri Gading di Bangunan UMNO Sri Gading, hari ini. – Foto Adi Safri

BATU PAHAT: Beberapa negara termasuk Jepun, China, England, Sepanyol dan Sweden menyatakan minat yang tinggi untuk membangunkan Projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata negara berkenaan sudah menghantar delegasi masing-masing, termasuk pemimpin kerajaan serta pakar industri kereta api laju mereka ke Malaysia bagi membentangkan cadangan pembangunan.

Katanya, minat yang tinggi ditunjukkan negara peneraju kereta api dunia itu sekali gus menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa pelabur antarabangsa menjauhi negara ini.

“Jepun contohnya amat berminat kerana sudah beberapa kali menghantar delegasi mereka awal tahun ini bagi membentangkan cadangan mereka.

“Malah, Jepun menawarkan pemindahan teknologi sistem kereta api laju Shinkansen negara itu serta kepakaran mereka bagi membantu Malaysia dan Singapura memiliki sistem kereta api laju termaju di dunia.

“Begitu juga negara lain seperti China, England, Sepanyol dan Sweden turut menawarkan keunikan serta kepakaran teknologi mereka untuk dipindahkan ke projek HSR ini,” katanya kepada BH selepas melancarkan ‘Dry Run’ UMNO Sri Gading di Bangunan UMNO Sri Gading di sini, hari ini.

Disember lalu, Malaysia dan Singapura memuktamadkan perjanjian bagi projek HSR menghubungkan Kuala Lumpur dan Jurong Timur.

Lima negara berkenaan dijangka bersaing dengan beberapa lagi pembuat HSR dari Korea Selatan dan Eropah bagi mengendalikan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, dianggar bernilai antara RM60 bilion hingga RM65 bilion.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp