Categories : Jenayah

 

Sepasukan Pegawai Penguatkuasa Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Selangor telah menyerbu 9 buah Pusat Urut di sekitar Puchong dan Subang Jaya. seramai 40 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya 24 orang telah ditangkap termasuk 3 daripada mereka dari persekitaran Bandar Puteri dan seorang warga tempatan. – Foto ihsan Imigresen

KUALA LUMPUR: Seramai 23 warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan susulan serbuan ke atas sembilan premis pusat urut di sekitar Puchong dan Subang Jaya dekat sini oleh Jabatan Imigresen Selangor, malam tadi.

Dalam serbuan bermula jam 11 malam dan berakhir jam 1 pagi tadi itu, seramai 40 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 24 orang iaitu 18 wanita dan enam lelaki, ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua wanita yang ditangkap terdiri daripada 10 wanita warga China, Thailand (empat), Vietnam (tiga) serta seorang wanita warga Liberia, manakala tangkapan lelaki membabitkan tiga warga Myanmar dan masing-masing seorang warga Indonesia, Nigeria serta seorang lelaki tempatan.

Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Selangor, James Lee, berkata ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua wanita warga asing yang ditahan itu sedang melayan pelanggan yang datang ke pusat urut terbabit.

“Tangkapan lelaki membabitkan seorang warga tempatan itu yang bertindak sebagai penjaga di pusat-pusat urut yang diserbu. Kita tahan mereka atas kesalahan imigresen dan membantu siasatan.

“Ketika serbuan, ada segelintir daripada mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, selain serbuan ke atas sembilan pusat urut berkenaan, Imigresen turut membuat pemeriksaan ke atas warga asing di sekitar Bandar Puteri, Puchong dengan tiga tangkapan dilakukan.

“Kesemua warga asing terbabit ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ke negara ini, selain menyalahgunakan pas lawatan.

“Seramai 17 ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah manakala selebihnya ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas,” katanya lagi.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp