Categories : Sukan

 

PENGURUS pasukan ski air, Ahmad Aizuddin Arshad (kanan)dan Ketua Jurulatih, Hanifah Yoong Yin Fah (kiri) bergambar bersama atlet ski air, Aaliyah Yoong Hanifah (dua dari kiri) dan Cheah Hsu Ann (dua dari kanan) pada sidang media Kita Juara di Casa, Bukit Jalil. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah optimis mampu mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi di Singapura pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Keyakinan pemegang rekod termuda pemenang emas Sukan SEA negara itu bersandarkan pada peningkatan prestasi dan persediaan rapi yang dilakukannya, termasuk menjalani latihan di Florida, Amerika Syarikat.

“Latihan di Florida selama tujuh minggu baru-baru ini ternyata membantu meningkatkan prestasi saya, terutama dari segi corak lompatan.

“Saya kini jauh meninggalkan pencabar dalam acara trick, selain membantu saya mengecilkan jurang dengan pilihan utama bagi acara slalom dan jumping,” kata atlet cilik berusia 13 tahun itu.

Di Tasik Putrajaya nanti, Aaliyah menyasarkan dua pingat emas menerusi acara trick dan keseluruhan wanita.

Atas sebab itu Aaliyah merasakan penting untuknya mendekatkan jurang bagi kedua-dua acara bukan kegemarannya, slalom dan jumping, kerana ia secara tidak langsung akan membolehkannya mengutip sebanyak mata mungkin untuk diangkat sebagai pemenang dalam acara keseluruhan wanita.

Walaupun tertekan dengan sasaran dua emas, adik tiri kepada bekas pemandu Formula Satu (F1) negara Alex Yoong itu yakin faktor beraksi di laman sendiri mengendurkan sedikit tekanan ke atasnya.

“Jelas sekali memang saya lebih tertekan berbanding ketika pertama kali memenangi emas pada edisi 2011 di Palembang kerana ketika itu saya tidak diletakkan harapan.

“Malah selepas menang emas, saya sempat pergi bermain air bersama rakan selain bermain permainan Uno, sebab waktu itu saya baharu berusia tujuh tahun.

“Tetapi saya tetap yakin faktor beraksi di gelanggang sendiri mampu mengendurkan tekanan,” katanya yang kini tersenarai dalam kedudukan 20 terbaik dunia keseluruhan kategori Bawah-17 oleh Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF).

Pada edisi kali ini, 12 acara dipertandingkan dalam sukan ski air dan wakeboard, dengan Malaysia sebagai tuan rumah menghantar enam atlet lelaki dan tiga wanita dengan sasaran dua emas.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp