Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 meraih lebih 1.3 juta undi sejak proses pengundian secara online dilancarkan 5 April lalu.

Sambutan peminat adalah di luar jangkaan, apatah lagi mekanisme undian dalam talian kali pertama diperkenalkan pada penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

Jumlah undian dijangka meningkat menjelang tarikh tutup, Ahad ini.

Sepanjang penganjuran ABPBH, undian untuk kategori utama dibuat melalui borang yang diterbitkan dalam akhbar BH dan BH Ahad. Namun, pada edisi tertentu, undian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) turut diperkenalkan.

Pada edisi ke-30 ABPBH, 13 kategori utama dipertandingkan, selain lima kategori online sampingan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 3.0, Shamshul Azree Samshir, berkata jumlah undi tertinggi diperoleh dalam kategori Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular; Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

“Penganjur teruja dengan sambutan memberangsangkan yang diberi peminat terhadap ABPBH 3.0.

“Pemerhatian yang dibuat menunjukkan saingan sengit dalam hampir semua kategori yang dipertandingkan. Jadi, peminat perlu menggunakan peluang terakhir ini bagi memastikan artis pilihan mereka berpeluang memenangi trofi ABPBH 3.0,” katanya.

ABPBH 3.0 yang bertemakan futuristik, bakal meraikan ulang tahun ke-30 pada acara yang akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 14 Mei depan.

Mencipta kelainan sesuai dengan tema penganjuran, peminat mengundi artis dan personaliti pilihan dengan melayari laman web rasmi ABPBH 3.0, www.abpbh.com.my.

Shamshul Azree berkata, sasaran meraih sokongan generasi muda atau Gen Y terhadap ABPBH 3.0 melalui proses pengundian secara online menampakkan tanda positif.

“Langkah ini perlu bagi membawa ABPBH ke era baharu dengan menekankan pendekatan berinteraksi secara langsung bersama peminat melalui media sosial dan internet,” katanya.

Dalam usaha mempromosikan ABPBH 3.0, Shamshul Azree berkata, lebih 50 video artis meraikan ulang tahun ABPBH sudah dikongsi di laman Instagram dan Facebook ABPBH 3.0, selain maklumat dan berita artis yang dikongsi di laman web rasmi.

“Dalam tempoh tidak sampai tiga minggu menjelang malam kemuncak ABPBH 3.0, usaha dilipatgandakan bagi mempromosikan acara ini, selain membuat persiapan pengisiannya, terutama segmen persembahan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp