Categories : Sukan

 

PEMAIN Selangor Adam Nor Azlin (kanan) meraikan jaringannya dengan penuh bergaya ketika menentang Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyerang muda Selangor, Adam Nor Azlin gembira dengan peranan baharunya dalam formasi 3-4-3 yang diterapkan pengendali, P Maniam pada musim ini yang dilihat memberinya lebih kebebasan untuk melakukan serangan.

Penyerang berusia 21 tahun itu, berkata posisinya di sebelah kanan memberinya lebih banyak ruang untuk melakukan percubaan ke arah gawang atau membantu gerakan menyerang yang dilancarkan pasukan itu.

“Posisi saya dalam formasi ini lebih kepada menyerang sekali gus memberi banyak peluang untuk saya menjaringkan gol. Apapun, kami masih lagi mencari keserasian yang lebih mantap,” katanya.

Formasi 3-4-3 yang sinonim dengan taktikal pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea itu menyaksikan Adam beraksi sebagai penyerang di sebelah kanan untuk membantu penyerang tengah, Francis Forkey Doe dan pemain tengah, S Veenod mengisi posisi selaku penyerang di sebelah kiri.

Dalam masa sama, bekas penyerang Harimau Muda B itu turut bertekad memperbaiki jumlah jaringannya musim ini selepas membuka kempen Liga Super dengan satu gol untuk membantu The Red Giants membenam Pulau Pinang 2-0, semalam.

Selepas sekadar meledak tiga gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu kerana diletakkan selaku pemain simpanan, penyerang berusia 21 tahun itu mengakui dia kini bertambah yakin dengan kualiti persembahan lebih matang.

“Saya harap dapat buktikan sesuatu kepada jurulatih. Sasaran saya supaya kekal konsisten dalam menjaringkan gol,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp