Categories : Hiburan

 

Akma AF.- Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Bakat kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Akma, mengakui pernah kecewa apabila namanya kian dipandang sepi oleh industri seni muzik tempatan kira-kira tiga tahun lalu.

Penyanyi itu berkata, beliau bagaimanapun akur dengan perkara terbabit dan meneruskan perjalanannya sebagai anak seni dengan cara berbeza.

“Saya pernah kecewa tiga tahun lalu apabila melihat rentak kerjaya seni di arus perdana semakin perlahan.

“Tetapi apabila difikirkan semula, saya masih beruntung kerana mampu menempa nama sejurus keluar daripada AF3. Ada sesetengah bekas peserta program itu yang terus senyap selepas rancangan berkenaan berakhir.

“Pada masa sama, saya turut memujuk hati, tak mengapalah jika saya tidak lagi menjadi perhatian kerana undangan nyanyian masih diterima sehingga kini. Cuma, saya dilihat kurang aktif di arus perdana,” katanya kepada BH Online.

Ditemui pada acara Busking Aid On Train di KL Sentral, di sini, baru-baru ini beliau berkata dirinya akan cuba kembali aktif dengan merancang penerbitan single baharu.

Setakat ini, ibu kepada dua cahaya mata itu mengadakan perbincangan dengan komposer dan penyanyi, Amylea, mengenai hala tuju lagu bakal dikeluarkan.

Sementara itu, Akma, 32, juga cuba mengembangkan bakat sebagai pengacara menerusi program Go Shop (Astro).

Katanya, bidang itu menjadi pengalaman baharu buat beliau dan ia juga antara langkah pertama untuknya mengukir kembali nama dalam industri hiburan tempatan.

“Apabila mendapat tahu ada uji bakat untuk program itu, saya tidak teragak-agak untuk mencuba. Tak sangka pula saya terpilih, jadi saya mengambil peluang berkenaan.

“Alhamdulillah, peminat sudah mula nampak saya, dan mereka memberi komen positif di Instagram,” ujarnya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp