Categories : Hiburan

 

ANGGOTA kumpulan Search pada majlis pembukaan kedai Fenomena Music dan pelancaran Double LP Fenomena di Dream Studio, Plaza Damas, hari ini. – Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 30 tahun diterbitkan, Search mengembalikan nostalgia album Fenomena dengan mengabadikannya dalam bentuk piring hitam yang bakal menemui peminat pada awal Jun depan.

Vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy berkata, album Fenomena dipilih kerana produksi itu membawa pelbagai tuah dan kejayaan kepada Search apabila turut menjulang nama mereka di Indonesia.

“Search dianggap sebagai antara pencetus muzik rock tempatan dan titik permulaan kejayaan kami digerakkan album Fenomena yang diterbitkan oleh Datuk M Nasir.

“Album ini pernah mencatat jualan melebihi 250,000 unit di Malaysia dan lebih dua juta unit di Indonesia. Pencapaian itu meyakinkan kami untuk menerbitkannya semula dalam bentuk piring hitam.

“Sebagai permulaan, Dream Studio menghasilkan 500 salinan tetapi belum sempat berada di pasaran, hampir kesemuanya sudah ditempah,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan kedai Fenomena Music dan pelancaran Double LP Fenomena di Dream Studio, Plaza Damas, di sini, petang ini.

Album yang memuatkan lagu berhantu seperti Isabella, Fenomena, Pawana dan Gadis Misteri itu mencetus fenomena luar biasa ketika berada di pasaran pada 1989 apabila turut membawa Search menembusi pasaran Indonesia.

Demam Isabella turut mencetuskan idea penerbitan filem yang menemukan Amy bersama bintang Indonesia, Nia Zulkarnaen yang mencatat kutipan pecah panggung.

Paling bermakna, lagu ciptaan Search dan lirik oleh Bob Lokman itu menyapu bersih kemenangan pada Anugerah Juara Lagu 1989 dalam kategori Lagu Terbaik, Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Selain Amy, turut hadir pada sidang media itu anggota Search lain seperti Nasir selaku pemain bass, Kid (gitar) dan Nordin (gitar).

Amy berkata, idea penghasilan piring hitam itu tercetus apabila dia bersama pemilik Dream Studio, Datuk Zaharul Annuar melihat semakin ramai penggemar muzik menyimpannya sebagai koleksi.

“Peminat muzik kini kembali kepada trend dulu apabila semakin ramai mula mencari piring hitam untuk dijadikan koleksi. Kami berasakan ini masa yang tepat untuk Search memasarkan album piring hitam untuk dihadiahkan kepada peminat setia,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp