Categories : Hiburan

 

Amar Asyraf

KUALA LUMPUR : Pelakon Amar Asyraf, 31, berharap teman seperjuangannya, Izara Aishah tetap meneruskan pembabitan dalam bidang seni biarpun sudah mendirikan rumah tangga nanti.

Katanya, beliau mengagumi bakat aktres berkenaan sejak mereka digandingkan kali pertama menerusi drama rantaian Setia Hujung Nyawa sekali gus meluahkan rasa teruja apabila terbaru mereka dapat bekerjasama semula.

“Selepas lima tahun, saya kembali disatukan bersama Izara yang juga heroin pertama ketika membintangi drama bersiri Kasih Najihah. Sebagai teman seperjuangan, saya sentiasa melihat perkembangan kerjayanya.

“Komitmen serta disiplin yang diberikan Izara harus diberi pujian. Memang ramai pelakon wanita dalam industri tempatan yang turut berdedikasi bekerja. Cuma saya jarang memuji orang, jadi istimewa sedikit pujian ini.

“Saya berharap biarpun sudah berkahwin kelak, Izara tetap meneruskan pembabitan dalam kerjaya seni kerana dia sememangnya seorang pelakon yang berbakat besar,” katanya kepada BH Online.

Terkini, Amar dan Izara digandingkan dalam telefilem arahan Ellie Suriati yang berjudul Neraka Di Mata Syurga Di Hati untuk slot Cerekarama di saluran TV3.

Telefilem itu turut menampilkan Chacha Maembong, Wilma Muhammad dan Pablo Amirul.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp