Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sabah sehingga esok.

Menurut Jabatan Meteorologi, keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, jabatan itu turut memberi amaran mengenai kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur yang terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok.

Selain itu, ribut petir di perairan Sarawak dijangka berterusan sehingga awal pagi hari ini yang dijangka boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, sekali gus berbahaya kepada bot kecil.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang dijangka berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Sulu sehingga esok.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran ribut petir di perairan Reef South yang dijangka berterusan sehingga awal pagi hari ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp