Categories : Hiburan

 

KETUA Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris (tengah) bersama Naib Presiden Bahagian Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin dan Pengurus Handungan ERA fm, Dhan Andreas (kanan) di majlis sidang media Anugerah Meletop Era 2017. – Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Anugerah Meletop Era 2017 (AME 2017) menampilkan kategori baharu, Si Cilik Meletop, yang menampilkan calon dalam kalangan anak selebriti.

Pengwujudan kategori berdasarkan populariti media sosial anak-anak artis terkenal itu bertujuan memberi kelainan kepada acara anugerah terbabit, di samping penghargaan kepada pengikut laman sosial si cilik.

Menurut Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris, kategori itu diadakan selepas melihat inisiatif artis masa kini mewujudkan akaun khas buat permata hari mereka dan berkongsi gelagat mahupun aktiviti seharian anak bersama peminat.

“Kita bukan mengambil kesempatan atas populariti mereka bagi menaikkan jenama AME, sebaliknya dibuat sebagai menghargai peminat atau pengikut mereka di laman sosial.

“Kami hanya memilih akaun laman sosial yang diwujudkan khusus untuk si anak, bukannya akaun bersama. Anak selebriti ini sudah mendapat tempat dan perhatian dalam industri, seiring populariti ibu bapa mereka,” katanya pada sidang media AME 2017, di sini, petang tadi.

Seramai 20 calon awal Si Cilik Meletop dipertandingkan, sama seperti 16 kategori lainnya. Mereka akan diundi oleh peminat bagi memilih lima calon teratas sebelum diadili juri profesional yang dilantik.

Undian yang dibuka mulai 21 Februari hingga 19 Mac ini menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my memberi peluang kepada peminat untuk memilih calon kegemaran masing-masing.

AME 2017 yang akan berlangsung pada 23 April depan di Stadium Malawati, Shah Alam, memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp