Categories : Hiburan

 

PENYANYI, Amelina. – Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Menyandang status ibu tunggal, penyanyi Amelina mencari inisiatif untuk menjana pendapatan sampingan untuk keluarga dengan menjual kuih raya pada Ramadan ini.

Amelina atau Nurazlina Amir Sharifuddin, 43, berkata sambutan menggalakkan yang diberikan oleh peminat di Kota Singa seakan-akan mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangannya suatu ketika dulu.

“Alhamdulillah, tidak sangka peminat memberikan sokongan yang baik, yang membuatkan saya rasa sangat dihargai. Terharu rasanya apabila mereka datang membeli Amelina Cookies dan dalam masa yang sama bergambar untuk mengimbau kembali waktu dulu.

“Buat julung kalinya saya berniaga kuih raya pada Ramadan ini apabila mendapat undangan daripada penganjur di Singapura. Saya berada di Tampines Hub sehingga 22 Jun ini. Cuma, tiada kudrat untuk saya turut menjualnya di sini kerana tidak cukup pembantu.

“Jika diikutkan, saya berhasrat untuk berniaga lagi pada tahun depan, cuma perlu meneliti semula jadual kerja. Bukan apa, komitmen terhadap perniagaan cukup tinggi kerana kita perlu turun padang untuk mempromosikan sendiri produk,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular pada era 90-an dengan lagu Rindu dan Semakin Rindu Semakin Asyik itu berkongsi, kuih raya yang dijual oleh beliau diubah mengikut kesesuaian masa kini.

Malah, ada beberapa jenis kuih yang perlu diulang beberapa kali kerana menerima sambutan baik oleh pembeli.

“Saya menjual tujuh jenis kuih raya, namun ada beberapa jenis yang popular di kalangan pembeli seperti tart coklat dan batang buruk moden. Ada yang diubah suai mengikut selera dan trend terkini,” kata Amelina.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp