Categories : Sukan

 

bhsukan@bh.com.my

KUCHING: Penduduk Sarawak harus berbangga kerana cabaran skuad bola sepak negeri itu yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini digalas oleh 90 peratus anak tempatan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim, berkata keputusan itu bagi memberi peluang kepada mereka memperagakan bakat masing-masing ke peringkat tinggi dan mengangkat martabat skuad Bujang Senang.

“Walaupun dibarisi anak tempatan, sasaran kita tetap sama. Kami percaya mereka mampu menggalas cabaran sekurang-kurangnya untuk menduduki kelompok lima pasukan terbaik.

“Justeru, kita harap penyokong setia terus memberi sokongan kepada skuad bimbingan David Usop musim ini,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baharu Sarawak di Pusat Beli Belah CityONE, Jalan Tun Jugah, di sini petang tadi.

Sarawak akan menggunakan tiga jersi sepanjang musim 2017 dengan warna merah kekal sebagai warna jersi utama untuk aksi di laman sendiri manakala jersi kedua dan ketiga berwarna hitam dan hijau untuk perlawanan di gelanggang lawan.

Pada majlis itu, FAS turut memperkenalkan barisan pemain Ngap Sayot, termasuk empat pemain import iaitu Mark Andrew Hartman dari Filipina, Lee Jong Ho (Korea Selatan), Demerson Bruno Costa (Brazil) dan Mateo Roskam (Croatia).

Skuad Bujang Senang dijadualkan berlepas ke Terengganu esok untuk memulakan saingan pertama Liga Super bertemu T-Team Sabtu ini, sebelum melayan kunjungan Pahang di Stadium Negeri pada 4 Februari ini.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp