Categories : Hiburan

 

ANIS Al Idrus (kiri) dan Aiman Rafzan pada sidang media majlis pernikahan di De’Laman Bukit Jelutong. – Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Tempoh perkenalan singkat tidak menghalang penyanyi dan pelakon, Anis Al-Idrus, 29, untuk disatukan dengan pereka dalaman, Aiman Rafzan, 35, pada 7 Julai depan.

Anis berkenalan dengan Aiman atau nama sebenarnya Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim, yang juga duda beranak satu, pada awal Januari tahun ini dan bertunang pada 24 Mac lalu.

Kata Anis, keputusan untuk bertunang dan mendirikan rumah tangga bukanlah dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya menganggap jodoh mereka sudah tiba.

“Kami juga bukanlah menyorok kisah pertunangan, sebaliknya masing-masing berasakan lebih elok majlis pernikahan yang dihebahkan.

“Malah, pada awal perkenalan kami, dia tidak tahu pun saya seorang artis,” kata Anis yang diperkenalkan kepada tunangnya oleh adik lelaki berkenaan.

Pada majlis sidang media mengumumkan tarikh perkahwinan mereka, di sini, hari ini, Anis berkata, perwatakan dan keperibadian Aiman membuatkan beliau terbuka hati untuk menerimanya walaupun mengetahui lelaki terbabit pernah mendirikan rumah tangga serta mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun.

Aiman pula berkata, sikap tegas namun manja penyanyi lagu Mengapa itu membuatkan beliau terpaut hati kepadanya.

“Dia juga seorang yang sopan dan jelita. Pada masa sama, saya tidak berasakan status selebriti disandangnya sebagai satu masalah, malah dunia saya dan bidang diceburinya tidak jauh berbeza,” katanya.

Kata Aiman, anaknya kini tinggal bersama bekas isteri dan kanak-kanak itu turut menerima Anis.

Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di De’Laman Event Space and Wedding, Shah Alam. Ia bakal dihadiri 350 tetamu, terdiri daripada anggota keluarga kedua-dua pihak, kenalan rapat dan wakil media.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp