Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Video muzik terbaru Anuar Zain, Cinta Takkan Berakhir, yang dikatakan meruntun perasaan meraih sambutan memberangsangkan apabila mencecah 120,000 kali jumlah tontonan dalam tempoh lima hari.

Mula dikongsi di laman YouTube sejak 27 Januari lalu, kisah sedih yang mendapat sentuhan sutradara, Amor Rizan itu adalah kesinambungan video pertama, Andainya Takdir, juga petikan album terkini penyanyi itu.

Rata-rata peminat memberi pujian terhadap plot yang menyimpang daripada tanggapan awal mengenai kecurangan seorang isteri sebaik saja dia menceburi dunia glamor apabila mengejar lelaki lain demi kemewahan.

Namun, menerusi sambungan video muzik kali ini, si isteri lakonan Sharifah Sakinah digambarkan terpaksa berbuat demikian kerana memerlukan wang bagi membiayai pembedahan anaknya dengan kadar segera.

Biarpun hanya berdurasi tidak sampai sembilan minit, ramai meminta Anuar bersama pengarah drama terkenal itu memanjangkan kisah berkenaan sebagai telefilem.

Terdahulu, pada sidang media pelancaran video muzik terbabit, penyanyi itu mengakui sudah ada pihak berminat menerbitkannya dalam bentuk drama.

Selain dua single terbabit, album yang diedarkan pada akhir tahun lalu itu juga memuatkan enam lagu lain iaitu Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Kembali Padamu Ilahi, Selamat Malam dan Hujan.

Selepas lima tahun tanpa album baharu, Anuar memaklumkan beliau sengaja menghasilkan video muzik untuk buah tangan kali ini dengan menggarap plot kisah bersambungan sebagai hadiah buat peminat.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp