Categories : Hiburan

 

GAMBAR Arja Lee bersama Sari Yanti yang dimuat naik di laman sosial Instagram.

KUALA LUMPUR: Gara-gara memuat naik gambarnya bersama Sari Yanti dengan berpakaian baju pengantin ke laman sosial Instagram, pelakon, Arja Lee, menjadi mangsa kemarahan peminat.

Arja, 33, berkata ketika berkongsi gambar dirinya dengan pelakon wanita itu di laman sosial terbabit, beliau tidak pun mengetahui mengenai perhubungan terjalin antara Sari dengan pelawak terkenal, Jep Sepahtu.

Bahkan, katanya, beliau memuat naik gambar mereka berdua, yang lengkap berbaju songket berwarna biru, sekadar mempromosikan drama lakonannya bersama pelakon berkenaan, Sekali Kulafazkan Cinta.

Berikutan itu, Arja segera memadamkan foto terbabit, namun ia dimuat naik pula oleh penerbit, David Teo, Ahad lalu, dengan keterangan gambar: ‘Eh, kami dah selamat disatukan bersama.. Eh? Gurau je’.

“Jujurnya, saya tidak tahu mengenai perhubungan Sari dan Jep sehinggalah membaca beberapa komen pengikut saya. Malah, ada yang memarahi saya kerana gambar itu.

“Tambahan pula, Sari dan Jep mempunyai jumlah pengikut yang ramai, mereka terus meletakkan pelbagai reaksi kerana foto yang dimuat naik itu. Lantas saya memadam foto berkenaan, tetapi ia dimuat naik semula oleh David. Begitupun, mungkin niatnya adalah sekadar gurauan, jadi saya tidak menyalahkan beliau.

“Apapun, saya mohon maaf sekiranya ada pihak yang kurang senang dengan foto berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Berdasarkan foto berkenaan, Arja dan Sari berpakaian pengantin dan mereka dilihat akrab sehingga menimbulkan rasa kurang senang netizen. Malah, ada yang memberi komen secara gurauan dengan menganggap Jep pasti akan cemburu apabila melihat foto itu.

Sementara itu, Arja turut menjelaskan mengenai gosip di ruangan pojok di sebuah akhbar mingguan kononnya beliau bercinta dengan kakak penyanyi Aiman Tino, Aziera Yusri.

Arja berkata, gosip berkenaan tidak benar kerana perhubungannya dengan Aziera sekadar teman baik.

“Saya mengenalinya pun apabila kami bekerjasama menjayakan beberapa babak lakonan bagi persembahan Aiman pada Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung bulan lalu. Lagipun dia masih muda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Arja kini sibuk menjalani penggambaran bagi program travelog, Kenali Sempadan, bagi siaran RTM.

Arja berkata, inilah kali pertama beliau mengendalikan program televisyen dan ia dianggap sebagai peluang yang tidak boleh dipersiakan begitu saja.

“Sudah dua bulan saya giat menjalani penggambaran program ini. Seronok pula melakukan kerja yang kita tidak pernah buat sebelum ini. Saya turut mendapat tawaran bagi mengacara beberapa program lain, termasuk di YouTube,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp