Categories : Hiburan

 

BEEGO.

KUALA LUMPUR: Pelakon Beego menempelak rakan artis terutama aktor baharu yang memilih karya yang mahu dilakonkan kerana berasakan diri sudah popular.

Beego atau nama sebenarnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 37, berkata, biarpun sesebuah karya dianggap tidak bagus, ia boleh berubah kepada pengisian yang hebat melalui lakonan.

“Cukup sensitif apabila meletakkan sesebuah naskhah tidak bagus, apatah lagi menolak tawaran… saya fikir tak baik begitu.

“Bagi saya, setiap hari kita belajar benda baharu. Tidak salah untuk menerima karya yang dianggap ‘tidak bagus’ untuk menambah ilmu dan lebihkan masa di lokasi penggambaran.

“Jika seorang juruterbang dinilai kehebatannya berdasarkan tempoh jam bekerja, bagaimana kita mahu menilai diri sebagai pelakon gred A?,” katanya kepada BH Online.

Tambah Beego, biarpun dia faham kebanyakan pelakon kerap menerima tawaran klise, ia boleh diubah mengikut kreativiti sendiri.

“Rasanya, jika kita kerap melakonkan watak sama sehingga sampai tahap 99 peratus, ia wajar ditolak. Tetapi jika persamaan watak yang diterima sekadar 50 peratus, apa salahnya kita terima watak itu.

“Jangan memilih hanya kerana kita berada di puncak. Cuba bayangkan, bagaimana jika industri kita meletakkan label atau nilai gred berdasarkan tempoh masa kita bekerja sebagai pelakon,” katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya, Beego memberitahu dia dan rakan kongsi sibuk membangunkan aplikasi khas untuk selebriti iaitu Laci Artis.

“Aplikasi itu menjadi hab artis dalam menjalinkan rangkaian antara satu sama lain, terutama bagi mereka yang memiliki perniagaan sendiri,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp