Categories : Hiburan

 

PUTRAJAYA: Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari, memaklumkan persembahan nyanyiannya yang diselitkan ketika mengacarakan majlis sekadar memenuhi permintaan penganjur, bukan bertujuan kembali ke lapangan seni suara.

Katanya, permulaan kerjaya hiburan dengan menyertai pertandingan nyanyian dulu membuatkannya selesa menyajikan kepelbagaian sepanjang mengendalikan acara pentas.

“Mendendangkan beberapa lagu ketika majlis yang menggunakan khidmat saya sebagai pengacara adalah sekadar suka-suka, apabila tuan rumah atau tetamu membuat permintaan khas.

“Walaupun pernah menghasilkan single suatu masa dulu, melihat kepada kesibukan kerjaya dan urusan keluarga, tidak mungkin saya mahu serius semula sebagai penyanyi.

“Variasi selingan nyanyian dalam pengacaraan ini saya mula lakukan sejak tahun lalu. Apabila ramai yang mengetahui saya boleh menyanyi, pada acara berikutnya terus ada permintaan,” katanya.

Awal berkata demikian ketika ditemui bersama isterinya, Scha Alyahya serta anak tunggal mereka, Lara Alana, 2, yang dipilih sebagai wajah jenama pengeluar produk penjagaan diri Johnson’s, di sini hari ini.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari, 36, pernah menyertai program pertandingan nyanyian, Malaysian Idol, dan mampu mara hingga ke peringkat ketiga.

Pada 2010, beliau berpayung di bawah sebuah label rakaman dan menerbitkan single berjudul Memori, hasil ciptaan Lah Ahmad.

Ditanya sama ada beliau mempunyai impian untuk merakamkan single baharu, Awal berasakan pada usia sekarang dirinya tidak lagi sesuai untuk berbuat demikian.

“Merakamkan lagu? Mungkin tidak kerana saya rasa diri saya sudah terlalu tua. Lagipun tanggungjawab saya semakin banyak dalam menguruskan pejabat dan perniagaan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp