Categories : Hiburan

 

PELAKON dan penyanyi popular, Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi popular, Ayda Jebat, sebak membaca ucapan hari lahir daripada para peminat di laman sosial sejak malam tadi sempena sambutan ulang tahunnya ke-25.

Ayda berkata, beliau terharu kerana rasa dihargai dan disayangi oleh ramai peminat yang tidak henti melayangkan ucapan, termasuk berkongsi gambar bersamanya di laman Facebook, Twitter dan Instagram.

“Saya terharu apabila membaca ucapan daripada mereka yang mendoakan perkara baik-baik buat diri saya.

“Bukan mudah untuk kita mencuri hati orang dan membuatkan orang menyenangi kita. Saya bersyukur kerana dianugerahkan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni dan peribadi saya,” katanya kepada BH Online.

Beliau akur bukan semua pihak menyenangi dirinya, namun bersyukur apabila ada kelompok peminat, yang dipanggil AJ Screamer, sentiasa menjadi tulang belakang dirinya.

Ayda yang juga anak sulung daripada empat beradik dilahirkan pada 17 Mac 1992 di Merlimau, Melaka.

Bercerita lanjut, Ayda berkata, sempena pertambahan usianya, beliau berharap kehidupan peribadi dan kerjaya seninya berjalan seiringan.

Akuinya, fokus utama kini adalah terhadap kerjaya, terutama dalam usaha membuktikan bakat nyanyian dan lakonannya bertambah baik dari hari ke hari.

“Saya mahu semua pihak menerima saya dan tahu saya serius dengan kerjaya seni, selain bersedia menerima cabaran serta teguran untuk menjadi lebih baik.

“Saya percaya, setiap perkara dilakukan dengan ikhlas akan diterima positif oleh semua pihak,” katanya.

Diusik mengenai arjuna hati, Ayda berkata, bapanya adalah lelaki teragung yang menjadi pelindung dirinya.

“Saya tahu, usia semakin bertambah, namun soal jodoh di tangan Allah. Jika ditakdirkan bertemu jodoh, tentunya saya tidak menolak. Bagaimanapun saat ini keutamaan adalah pada kerjaya,” katanya.

Penyanyi yang sedang hangat dengan single Nakal Nakal Nakal itu juga bakal muncul dalam filem Pinjamkan Hatiku, pertengahan tahun ini.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp