Categories : Hiburan

 

PENYANYI, Ayu Damit. – Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Tahun ini, lagu raya baharu nyanyian artis tempatan kembali berkumandang di beberapa corong radio sepanjang musim lebaran.

Antara artis yang merakamkan lagu raya terkini ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Aiman Tino, Khai Bahar, Sufian Suhaimi dan penyanyi di bawah label FMC serta SRC.

Seorang lagi penyanyi yang turut berbuat demikian ialah Ayu Damit, bersama karya diberi nama Ukhuwah Lebaran Di Aidilfitri.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata berkenaan, lagu ciptaan Amirainnur dan dengan sentuhan muzik daripada Awi Rafael itu dikeluarkan khas oleh syarikat pengurusannya, Ukhwah Enigma Management, Ia dijangka mula dipromosikan dalam masa terdekat.

“Saya berasa sangat teruja apabila diberi peluang merakamkan lagu raya sulung dan sudah tentu saya amat berharap ia dapat diterima ramai.

“Lagu ini berkisar mengenai ukhuwah dan perpaduan kita sesama umat Islam. Dalam apa juga keadaan dan di mana-mana saja, kita semua sama-sama menyambut lebaran.

“Saya memang tidak menyangka pihak pengurusan merealisasikan impian saya memilik lagu raya sendiri. Dulu, saya hanya mendengar dendangan orang lain pada musim perayaan, kini saya boleh berbangga kerana turut memiliki lagu raya nyanyian sendiri,” kata bakat kelahiran One In A Million ini.

Bercerita mengenai sambutan 1 Syawal, baru-baru ini, Ayu memberitahu, beliau pulang ke kampung suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, di Kuala Kangsar, Perak.

“Beraya di sana pun tidak lama kerana pada hari raya kedua, saya sudah pun terikat dengan kerja di ibu kota. Selepas itu, saya pulang ke Sabah pula,” katanya yang dijangka muncul dengan single terbaru selepas ini berjudul Beauty Till Jannah.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp