Categories : Hiburan

 

PETALING JAYA: Pelakon, Azrel Ismail, 32, mendedahkan beliau mungkin akan menamatkan zaman bujangnya bersama seorang aktres, tahun depan.

Begitupun, pelakon yang dikenali menerusi drama Menantu Ting Tong ini enggan mendedahkan identiti buah hatinya itu buat masa sekarang.

Azrel, yang mula meniti bibir peminat selepas tiga tahun menceburi dunia lakonan turut berkata, beliau tidak bimbang soal populariti yang mungkin menurun selepas mendirikan rumah tangga kelak.

“Tidak mungkin saya berkahwin tahun ini, tetapi mungkin tahun depan, Insya-Allah. Biarpun ada yang menasihatkan saya supaya jangan berkahwin dulu ketika kerjaya sedang meningkat, bagi saya, kesannya tidak dirasakan sangat berbanding pelakon wanita.

“Bagi artis wanita, jika diberikan rezeki, mereka akan melalui tempoh kehamilan pula selepas bernikah. Ia sedikit sebanyak mengurangkan tawaran lakonan. Pelakon lelaki pula tidak ada kena-mengena dengan hal berkenaan, cuma mungkin jumlah peminat wanita saja sedikit berkurang,” katanya.

Azrel berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi sempena program Drama Sangat Bus Tour (DSBT) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Beliau antara beberapa artis yang akan mengikuti siri jelajah DSBT ke beberapa lokasi, antaranya Terengganu dan Pahang, selama tiga hari bermula 21 April ini.

AZREL Ismail.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan rakan gandingan dalam Menantu Ting Tong, Ruhainies, Azrel berkata, ia masih terjalin dengan baik.

“Hubungan kami memang baik. Malah, saya juga baik dengan seluruh keluarganya. Ruhainies masih muda dan jauh lagi perjalanannya,” katanya yang sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan pelakon berkenaan.

Sementara itu, Azrel terharu dan pada masa sama berbangga apabila namanya melekat sebagai calon Top 20 kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0).

Katanya, sebelum menceburi bidang seni lagi, beliau memang sudah lama mengikuti perkembangan anugerah berprestij berkenaan.

“Alhamdulillah, hasil kerja seni saya tahun lalu dipandang dan diiktiraf, hingga nama saya melekat dalam senarai Top 20 ABPBH. Begitupun, saingannya bukan mudah kerana nama saya diletakkan sebaris dengan pelakon berpengalaman seperti Aaron Aziz, Hisyam Hamid, Remy Ishak dan ramai lagi.

“Pada masa sama, ABPBH ialah anugerah yang paling dinantikan semua artis tanah air kerana ia satu-satunya acara yang mengangkat dan mengiktiraf bakat anak seni daripada pelbagai bidang,” katanya.

Katanya juga, jika ada rezeki, tentu saja beliau teringin menggenggam trofi terbabit yang menjadi idaman ramai pelakon.

“Begitupun, jika nama saya hanya dicalonkan hingga ke peringkat Top 5, saya rasa ia sudah memadai dan menggembirakan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp