Categories : Semasa

 

ANGGOTA bomba membantu memindahkan pesakit dari rumah penduduk yang dinaiki air di Beruas. – Foto ihsan Bomba

IPOH: Dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka selepas beberapa kawasan penempatan di dua daerah di Perak dilanda banjir kilat sehingga tengah malam tadi.

Dua daerah berkenaan adalah Larut, Matang dan Selama serta Manjung.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan tiga pusat pemindahan beroperasi termasuk di daerah Hilir Perak yang dibuka sejak Jumaat lalu, dengan bilangan keseluruhan mangsa ditempatkan di ketiga-tiga pusat pemindahan berkenaan seramai 94 penduduk daripada 29 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, pusat pemindahan di Surau Kampung Jawa Trong di Larut, Matang dan Selama dibuka jam 7.30 petang semalam selepas kawasan Kampung Jawa Trong di Mukim Sungai Tinggi dinaiki air.

Katanya, seramai 43 penduduk daripada 13 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan itu sehingga tengah malam tadi.

“Daerah Manjung pula membabitkan 24 penduduk daripada tujuh keluarga di Kampung Padang Serai di Beruas terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai pada jam pada jam 8.30 malam.

“Penduduk terpaksa dipindahkan selepas air naik 0.2 meter, namun keadaan terkawal.

ANGGOTA bomba membantu memindahkan pesakit dari rumah penduduk yang dinaiki air di Beruas. – Foto ihsan Bomba

PENDUDUK terpaksa dipindahkan selepas air naik 0.2 meter, namun keadaan terkawal. – Foto ihsan Bomba

“Satu lagi pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara di kawasan Pengkalan Ara di daerah Hilir Perak yang dibuka sejak Jumaat lalu, masih menempatkan seramai 27 orang daripada 10 keluarga,” katanya di sini tengah malam tadi.

Beliau berkata, banjir semalam turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk Batu Gajah serta daerah Kerian dan Bagan Datuk, namun tidak membabitkan pembukaan pusat pemindahan.

Katanya, banjir di daerah Kerian membabitkan kawasan Parit Mat Keling yang kawasan halaman rumah penduduk dan kebun sawit dinaiki air, manakala di Bagan Datuk kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Nipah Darat, Kampung Rungkup Kecil dan Kampung Sungai Haji Muhammad di Mukim Rungkup serta Kampung Matang Kunda dan Kampung Sungai Balai Darat di mukim Bagan Datuk.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, sebanyak 19 rumah di kawasan Taman Cenderong Jaya dan Taman Cahaya di Batu Gajah dinaiki air dalam kejadian banjir.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan air melimpah sehingga ke laluan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Sheikh Johan dan Jalan Tanjung Tualang dan ada rumah dimasuki air namun keadaan tidak memerlukan mereka berpindah.

Katanya, banjir kilat juga berlaku di daerah Kuala Kangsar namun hanya membabitkan tiga rumah di Kampung Talang Masjid dengan air sudah pun surut.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp