Categories : Semasa

 

KEADAAN banjir kilat dianggap terburuk dalam tempoh 50 tahun. – Foto Mohd Shukor Amin

SABAK BERNAM: Hujan berterusan lebih 24 jam sejak semalam hingga menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat, dianggap terburuk dalam tempoh lebih 50 tahun.

Naimah Bahari, 62, berusia lapan tahun ketika kali terakhir banjir melanda Sungai Besar.

“Ini kali kedua rumah makcik dilanda banjir dan terpaksa ke pusat pemindahan ini,” katanya.

Naimah yang tinggal bersendirian selepas kematian suaminya lebih 14 tahun lalu berkata, banjir kali ini dianggap pelik kerana tiada laporan kemungkinan bah melanda.

“Sebelum ini, kalau banjir sebesar mana pun, kawasan rumah mak cik selamat diduduki. Kali ini, mak cik terpaksa minta tolong jiran angkat barangan elektrik ke tempat selamat,” katanya.

Orang Kelainan Upaya (OKU), Norazmil Mohd Basri, 49, yang menetap di Kampung Parit 1 Timur, Sungai Besar, tidak pernah diarah ke pusat pemindahan banjir sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau dan isteri bersama dua anak mereka terpaksa berkemas untuk berlindung ke pusat pemindahan banjir.

“Air mula memasuki rumahnya kira-kira jam 7 malam semalam setinggi 0.3 meter,” katanya.

Penduduk Kampung Nelayan, Suratma Hamdani, 50, berkata limpahan air dari parit berdekatan memasuki kediamannya itu sejak jam 5 petang semalam.

Beliau mendakwa, isu sistem perparitan yang tidak diselenggara sudah lama membelenggu penduduk di kawasan rendah.

“Tak sempat nak selamat apa-apa sebab air naik dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa penempatan di Sungai Besar terjejas dengan banjir kilat termasuk Taman Perdana, Taman Padu Permai, Taman Seri, Kampung Nelayan dan Kampung Sungai Limau.

Turut terjejas, beberapa kampung di kawasan Sungai Air Tawar seperti Kampung Parit Baru dan Kampung Parit Baroh.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp