Categories : Hiburan

 

PENYANYI popular, Anuar Zain. – Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ALOR GAJAH: Penyanyi popular, Anuar Zain, masih menunggu perkembangan daripada penganjur, Yonder Music, berhubung pembatalan konsert ‘Yonder Music Music Live Series By The Lake, Anuar Zain and You’ yang dijadualkan pada pertengahan bulan lalu.

Anuar berkata, pembatalan itu disebabkan masalah pada pita suara atau Laringitis yang menyebabkan suaranya hilang sebaik melakukan raptai persembahan pada sebelah pagi, iaitu hari yang sepatutnya diadakan konsert di Panggung Anniversary, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Katanya, serangan penyakit itu mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk pulih dan mengakui baru 80 peratus sembuh sebelum dapat menjayakan ‘Anuar Zain Album Tour 2017’ di Mydin Pulau Sebang di sini, sebagai lokasi pertamanya.

Anuar berkata, beliau yakin pembatalan yang terpaksa dilakukan mempunyai hikmah tersendiri meskipun berasa berat hati sambil menyifatkan keputusan itu perkara cukup sukar kerana perlu menjaga hati dan harapan peminat yang menunggu kemunculannya.

“Saya masih menunggu jawapan daripada Yonder Music jika ada tarikh baharu bagi meneruskan konsert berkenaan dan saya akan mengadakan pengumuman sama ada melalui laman sosial atau sidang media.

“Walaupun konsert yang saya sendiri nantikan itu terpaksa dibatalkan namun saya bersyukur kerana peminat memahami dan memberikan semangat untuk saya segera sembuh daripada Laringitis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penyanyi yang kini semakin popular dengan lagu Andainya Takdir itu tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya kerana memang berharap untuk berkongsi pengalaman selama kira-kira 20 tahun sebagai anak seni bersama peminatnya di Panggung Anniversary.

“Ekoran penyakit itu, saya tidak mahu berasa tertekan kerana ia membabitkan emosi saya sebagai penyanyi. Saya menerima dengan terbuka dan percaya pada hikmah ditentukan Yang Maha Esa,” katanya.

Katanya, beliau mendapatkan rawatan awal di Pusat Perubatan Sunway disusuli Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Pada ‘Anuar Zain Album Tour 2017’ itu, beliau menyanyikan empat lagu lama dan baharu iaitu Kau Bunga Cintaku; Kembali; Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir di depan lebih 2,000 peminat dan pengunjung pasar raya besar berkenaan.

Selain itu, Anuar bakal mengadakan persembahan di Mydin Parit Buntar, Perak; Mydin Senawang, Negeri Sembilan; Mydin Samariang, Mydin CityOne dan Mydin Vista Tunku di Sarawak.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp