Categories : Semasa

 

SEREMBAN: Bekas wartawan BH dan New Straits Times (NST), Khalil Md Zain, meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di rumahnya di Taman Bukit Kelana, Senawang, di sini, tengah malam tadi.

Allahyarham Khalil, 66, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah malam di sisi isterinya, Jamilah Aziz, 63, dan lapan anak mereka berusia antara 19 hingga 41 tahun.

Anak sulungnya, Johari Khalil, 41, berkata bapanya disahkan menghidap kanser limfoma pada September tahun lalu dan tahap kesihatannya terus merosot.

“Bulan lalu, doktor mengesahkan kanser ayah berada di tahap empat dan rawatan kemoterapi di Hospital Ampang, Selangor, tidak menunjukkan perkembangan positif.

“Ayah yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, Selangor meminta untuk pulang ke rumah semalam.

“Selepas menunaikan solat Maghrib malam tadi, ayah semakin lemah dan tidak sedarkan diri mulai jam 9.30 malam.

“Doktor mengesahkan ayah meninggal dunia jam 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini, hari ini.

Lebih 50 saudara-mara dan kenalan Allahyarham hadir memberi penghormatan terakhir tanah perkuburan itu.

Allahyarham pernah berkhidmat dengan BH, NST dan TV3 sebelum bersara kira-kira 10 tahun lalu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp