Categories : Semasa

 

DATUK Seri Richard Riot Anak Jaem (dua dari kiri) merasmikan gimik pelancaran pada majlis sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja Kebangsaan 2017 di Hotel Holiday Inn, Banda Hilir, Melaka. – Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kebergantungan kepada kira-kira 180,000 pegawai dagang (ekspatriat) di negara ini boleh dikurangkan sekiranya lepasan universiti tempatan diberi pendedahan sepenuhnya dalam bidang profesional.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata langkah itu boleh dioptimumkan menerusi kerjasama dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengambil graduan tempatan mengisi kekosongan jawatan ditawarkan pihak industri.

“Melalui program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), GLC dan GLIC diwajibkan untuk mengambil lepasan universiti sebagai pelatih, sebelum calon berkelayakan boleh diserapkan sebagai pekerja tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Kebangsaan 2017 di Hotel Holiday Inn, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan EXCO Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO negeri, Datuk M S Mahadevan.

Terdahulu, Riot dalam ucapannya berkata, kementerian itu melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyasar kadar kematian diturunkan kepada 4.36 peratus bagi bagi setiap 100,000 pekerja, manakala kadar kemalangan kepada 2.53 peratus bagi setiap 1,000 pekerja menjelang tahun 2020.

“Statistik tidak rasmi JKKP pada tahun lalu menunjukkan kadar kematian sebanyak 4.81 peratus bagi setiap 100,000 pekerja, manakala kadar kemalangan pula 2.88 peratus bagi setiap 1,000 pekerja,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp