Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidiladha bagi penduduk Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, Selangor dijangka lebih meriah apabila dipilih menjadi lokasi Program Semarak Korban BIMB Holdings Bhd (BHB) bersama Berita Harian (BH) pada 3 September ini.

Sempena program tahunan itu yang diadakan sejak 2015, BHB akan menyerahkan dua ekor lembu yang akan dimasak untuk jamuan tengah hari serta disumbangkan kepada asnaf sebagai ibadah korban mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Syariah BHB, Mohd Nazri Chik, berkata pihaknya akan turut mengagihkan zakat dan sumbangan berjumlah RM12,400 kepada asnaf.

Katanya, sejumlah RM7,400 daripada sumbangan berkenaan akan disumbangkan kepada 37 asnaf manakala RM5,000 akan disalurkan kepada Surau Nurul Huda, Selangor sebagai bantuan untuk menganjurkan program pembangunan kemasyarakatan.

“Kita amat berharap program berkenaan sedikit sebanyak membantu menceriakan sambutan Aidiladha mereka (golongan asnaf) pada tahun ini.

“Program ini juga akan menyaksikan kerjasama dan sinergi antara lebih 20 sukarelawan terdiri daripada warga kerja kumpulan BHB termasuk kakitangan Bank Islam Tanjung Karang untuk terbabit dalam aktiviti dengan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan RM90,000 kepada Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Kanan Unit Sektor Awam Jabatan Pengiklanan NSTP, Wan Rafilin Wan Md Noor dan Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat BIMB Holdings, Wan Norkhairi Wan Samad.

BHB adalah Syarikat Pemegangan Kewangan Islam yang pertama diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Ia mempunyai tiga anak syarikat iaitu Bank Islam Malaysia Bhd, Syarikat Takaful Malaysia dan BIMB Securities Sdn Bhd.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp