Categories : Hiburan

 

Nabila Huda

KUALA LUMPUR: Selepas menyatakan keazaman untuk kembali memberikan perhatian kepada dunia lakonan tahun ini, Nabila Huda menerima pelbagai tawaran yang menyaksikan jadual kerjanya hampir penuh sehingga akhir tahun.

Sepanjang 2016, selain lakonan, ibu kepada seorang anak perempuan itu turut terbabit dalam program bercorak travelog selain mengambil sedikit waktu untuk berehat selepas berkahwin kali kedua, penghujung 2015.

Menurut anak kepada bintang rock, Amy Search ini, walaupun jadual kerjanya padat, beliau tidak berasakan segala tanggungjawab terbabit sebagai beban untuk dirinya.

Sebaliknya, katanya, penat lelah bekerja seakan terbayar apabila dapat memuaskan hati pihak penerbit dan peminat selepas agak lama bercuti tahun lalu.

“Kini, tiba masanya untuk saya meneruskan momentum sebagai pelakon dan memberikan yang terbaik kepada peminat. Deretan tawaran sudah diterima dan jadual kerja saya agak penuh sepanjang tahun.

“Biarpun terpaksa bersengkang mata dan tidak mendapat rehat mencukupi, namun saya berpuas hati dengan hasil penat lelah itu nanti. Malah, saya masih lagi menguruskan kerjaya seni sendiri tanpa pihak pengurusan,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan terkini, Nabila memberitahu, beliau buat julung kali bekerjasama dengan produksi pelakon dan penerbit, Sheila Rusly, menerusi telefilem berjudul Aku Tak Berdosa.

Memuji ketelitian etika bekerja Sheila, Nabila menganggap kerjasama itu turut membuka ruang buatnya memperbaiki mutu lakonan.

“Saya sudah lama menantikan peluang untuk bekerja di bawah produksi Sis (Sheila). Berikutan ada kekosongan dalam jadual, jadi dapat juga saya selitkan telefilem, Aku Tak Berdosa, arahan Jinggo.

“Kadang kala kita ada terlepas pandang beberapa aspek lakonan dan ia disuarakan oleh mereka untuk saya memperbaikinya. Tunjuk ajar begitu adalah perkara yang amat berharga bagi seseorang pelakon dalam usaha memperbaiki mutu lakonan masing-masing,” kata Nabila.

Selain Nabila, Aku Tak Berdosa turut dibintangi oleh Wan Noor Azlin dan Fezrul Khan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp