Categories : Jenayah

 

ANGGOTA polis mengangkat jenazah Nur Damia Nadhirah untuk proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah setelah lemas dalam sebuah kolam terbiar di Kampung Sena, Kuala Nerang. – Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Seorang budak perempuan berusia lima tahun maut, manakala rakannya kritikal selepas dipercayai terjatuh ke sebuah kolam terbiar di Kampung Sena di Kuala Nerang, dekat sini, hari ini.

Nur Damia Nadhirah Shahrudin dan rakannya, Mohd Rusyadi Mohd Naam, 5, masing-masing ditemui tidak sedarkan diri terapung permukaan kolam pada jam 6.50 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mohamad Zaki Omar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kedua-dua mangsa ditemui terapung di permukaan kolam oleh penduduk kampung sebelum dibawa keluar dan dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, Nur Damia disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital manakala Mohd Rusyadi masih tidak sedarkan diri, ” katanya.

Katanya, sehingga kini pihaknya percaya kemungkinan besar kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam kolam terbiar itu.

Mayat Nur Damia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat manakala Mohd Rusyadi dirujuk kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp