Categories : Jenayah

 

Anggota Bomba sedang membuka kunci kenderaan ibu mangsa dengan peralatan khas. – Foto ihsan JBPM

TANJONG KARANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terperangkap dalam sebuah kereta yang terkunci di pekan Tanjong Karang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Nur Assyifaa Mohammad Asraf yang sedang tidur di kerusi penumpang belakang terperangkap dalam kenderaan itu selepas ia terkunci sendiri ketika ditinggalkan ibunya untuk membeli makanan di gerai berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas, berkata kanak-kanak itu diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang membuka pintu Toyota Rush berkenaan.

“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota diketuai Pegawai Operasi Asmori Mansor dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira tiga minit untuk membuka pintu kereta itu menggunakan peralatan khas.

“Mangsa yang masih tidur itu kemudiannya dikeluarkan dengan selamat sebelum diserahkan kepada ibunya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp