Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Menyedari cabaran daripada media baharu, Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) kini memberi lebih penekanan kepada platform digital dalam menyebarkan berita dan maklumat.

Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), Tan Sri Ismee Ismail, berkata ketiga-tiga akhbar di bawah kumpulan itu iaitu Berita Harian (BH), New Straits Times dan Harian Metro, kini sedang mengimbangi kelebihan media baharu dengan kekuatan dan keunikan akhbar masing-masing.

Katanya, sebagai sebuah organisasi media bersepadu membabitkan media cetak, rangkaian televisyen, radio, pengiklanan luar rumah dan penghasilan kandungan dan digital, pihaknya akui dengan gangguan digital dan perubahan teknologi.

“NSTP sebagai contoh kini memberi lebih penekanan kepada platform digital dalam menyebarkan berita dan maklumat. Kami bersyukur kerana mempunyai capaian terbesar jika mengambil kira keseluruhan platform media sosial di bawah kumpulan NSTP.

“BH mencatatkan capaian paling tinggi melalui platform media sosialnya. Laman web BH dilayari lebih 32.7 juta pelawat dengan 6.9 juta adalah pelawat unik; manakala Facebook BH diikuti lebih 4.6 juta pengikut; disusuli dengan 1.17 juta pengikut Twitter; 314,000 di Instagram dan 8,100 pelanggan YouTube BH.

“Ini menjadikan keseluruhan capaian media sosial BH melebihi 38.7 juta. Satu angka yang tidak sangka untuk diperoleh sebelum ini,” katanya ketika berucap pada pada Majlis Pelancaran Pameran BH Khas Hari Kebangsaan di ruang legar tingkat dua KL Sentral, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Dalam pada itu, Ismee berkata, pendekatan moderat atau sederhana BH dalam menyiarkan laporan beritanya membolehkan akhbar itu terus bertahan terutama di sekolah termasuk sekolah aliran Cina dan Tamil.

Katanya, dengan moto ‘Merentas Generasi’, BH sememangnya sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur, jantina dan kaum yang menjadi ramuan kejayaan akhbar itu yang diwarisi sehingga ke hari ini.

“Sejak BH memulakan edisi pertamanya dengan menggunakan kandungan yang diterjemah daripada akhbar Straits Times, pelbagai perubahan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Namun yang jelas, apa pun perubahan atau pembaharuan yang dilakukan sama ada dalam aspek reka letak, kandungan atau saiz akhbar, DNA BH tetap sama iaitu mengambil pendekatan moderat atau sederhana,” katanya.

INFO – Pameran BH Khas Hari Kebangsaan

  • Dibuka bermula 21 Ogos sehingga 31 Ogos mulai jam 9 pagi hingga 6 petang di ruang legar tingkat dua KL Sentral.
  • Memaparkan evolusi enam dekad BH sejak penerbitan pertamanya pada 1 Julai 1957, serta pembabitan dalam pembangunan negara.
  • Pengunjung berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM3,000 menerusi Pertandingan Swafoto.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp