Categories : Hiburan

 

Rozita Che Wan

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri Rozita Che Wan tahun ini pastinya lebih meriah apabila pelakon dan usahawan terkenal terbabit akan beraya dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu berwarna merah.

Bukan sekadar mendapat tajaan pakaian raya oleh jenama diwakilinya, Minaz, membolehkan beliau melaram dengan kira-kira 100 persalinan, wanita jelita itu juga kini mampu bergerak ke sana-sini pada musim perayaan dengan kereta jenama Haval.

Bergelar duta kereta terbabit sejak Oktober tahun lalu, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 44, terikat selama setahun bersama jenama berkenaan.

“Saya juga berasa bertuah kerana diberikan nombor pendaftaran dengan abjad yang menyerupai ejaan nama saya.

“Alhamdulillah, pastinya raya saya kali ini memang berganda keseronokannya. Rezeki saya apabila dapat bergaya dengan tajaan baju raya dan kini, kereta baharu pula. Saya hanya mampu memanjat kesyukuran,” kata isteri kepada pelakon, Zain Saidin, ini.

Seperti tahun sebelumnya, Rozita sekeluarga bakal beraya di Gombak, di sini, terlebih dulu sebelum berangkat ke Alor Setar, Kedah, pada raya kedua.

“Itulah rutin raya kami sekeluarga dan seperti selalu, kami akan tetap beraya sedondon.

“Seminggu selepas raya pula, saya dan keluarga akan terbang ke London serta Paris. Selain terikat dengan kerja penggambaran di London, saya akan manfaatkan masa di sana untuk bercuti dan menyambungnya hingga ke Paris.

“Ada beberapa kerja penggambaran bakal dilakukan di sana, bersama Zeel Production. Saya juga mendapat tahu, ada perancangan untuk mengembalikan drama Kiah Pekasam menerusi musim terbaru,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp