Categories : Sukan

 

Daeng Abdul Rahman. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain muda amatur negara, Daeng Abdul Rahman mungkin terpaksa melupakan pentas Sukan SEA 2017 dalam usahanya merealisasikan impian menjadi pemain golf profesional.

Bintang golf dalam pembikinan negara berusia 16 tahun itu menegaskan keputusan untuk tidak bersama skuad Sukan SEA 2017 adalah antara jalan terbaik bagi membolehkannya lebih fokus menjadi pemain golf profesional.

“Saya mahu beralih menjadi pemain profesional dan akan menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf profesional.

“Ya, saya memang berada dalam skuad Sukan SEA 2017 namun tidak akan menyertainya kerana mahu memberikan fokus kepada permainan saya,” kata Daeng.

Nama Daeng kini mula meniti di bibir peminat golf tempatan apabila muncul sebagai pemain amatur pertama yang berjaya melepasi cut dan menamatkan aksi di kedudukan 47 bersama Gavin Kyle Green pada Kejuaraan Maybank Malaysia yang berakhir semalam.

Daeng berada di tempat ke-47 selepas mencatat 285 pukulan keseluruhan, tiga di bawah par selepas tamat empat pusingan perlawanan kejohanan di Saujana Golf & Country Club.

Selain Daeng, beberapa pemain lain seperti Amir Nazrin Jailani, Bryan Teoh Wiyang, Galven Kendall Green, Genevieve Ling I-Rynn, Loy Hee Ying dan Nur Durriyah Damian turut disenaraikan oleh Persatuan Golf Malaysia untuk ke temasya dwi tahunan itu.

Senarai pemain terbabit dipilih berdasarkan prestasi baik mereka musim lalu, namun senarai akhir bagi mewakili negara pada Sukan SEA 2017 hanya akan diumumkan pada pertengahan Mei ini.

Pada Sukan SEA ke-29, sukan golf akan mempertandingkan empat pingat emas iaitu individu dan berpasukan bagi lelaki dan wanita.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp