Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Biarpun sekadar memaparkan lirik dengan aksi nyanyian, klip video lagu Girl dendangan Dafi sudah mencatat lebih sejuta tontonan sejak dimuat naik, Januari lalu.

Melihat reaksi memberangsangkan itu, Dafi tidak sabar merakamkan klip video rasmi single terbaharunya itu demi peminat.

Sebagai hadiah, Dafi merancang mengajak beberapa peminat turut beraksi dalam klip video berkenaan.

“Saya buat semua ini bagi menepati janji kepada peminat tersayang. Ini pencapaian pertama saya apabila klip video ditonton lebih sejuta kali.

“Sehubungan itu, saya terfikir kenapa tidak pelawa peminat turut sama beraksi dalam klip video berkenaan. Ini cara saya menghargai sokongan mereka sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

Penggambaran klip video lagu Girl ciptaan Hael Hussaini, Ezra Kong dan Omar K itu, dijangka bermula selepas Aidilfitri.

Teruja dengan pencapaian klip lagu berkenaan, Dafi menganggap ia pencapaian luar biasa.

“Barangkali, bagi sesetengah penyanyi, angka itu tidak memberikan sebarang makna. Tetapi, bagi saya yang belum pernah mencapai angka demikian, ia sangat istimewa.

“Saya amat terkejut malah menganggap ia mitos. Namun, sekarang ia benar-benar terjadi,” katanya.

Mengenai projek rakaman album ketiganya di bawah komposer terkemuka Indonesia, Ahmad Dhani, Dafi memberitahu, ia menunggu masa untuk dipasarkan.

“Semua 10 lagu sudah siap dirakamkan. Bagi saya, biarlah pembikinannya mengambil sedikit masa, jadi kami boleh menghasilkan karya terbaik.

“Sekarang, saya menunggu masa untuk menyiapkan video muzik rasmi single pertama daripada album berkenaan. Judul sementara lagu terbabit adalah Masihkah Kamu.

“Saya turut berduet dengan artis naungan Ahmad Dhani iaitu Bilanova dalam album itu,” katanya yang menjadi artis Malaysia pertama bernaung di bawah Syarikat Republik Cinta milik Ahmad Dhani sejak Disember 2014.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp