Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Dahi anak kepada pelakon, Shah Jaszle, iaitu Alana Jasmeen Jaszle, 2, terpaksa menerima enam jahitan akibat jatuh tangga di kediaman mereka, semalam.

Shah atau nama penuhnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 29, berkata insiden itu berlaku ketika beliau berada di luar rumah manakala isterinya, Hanis Husna, di tingkat atas.

“Ketika isteri berada di tingkat atas, Alana mahu mengikutnya dan pada penghujung tangga, dia terjatuh pula.

“Berderau darah saya melihat luka anak yang agak dalam. Kami terus membawanya ke hospital. Selepas membuat imbasan di kepala, mujurlah doktor kata lukanya tidak serius,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.

Semalam, Shah berkongsi rakaman anaknya, yang sedang menangis kesakitan akibat terjatuh tangga sehingga menyebabkan dahi kanak-kanak itu terkoyak, di akaun Instagram beliau.

Dalam pada itu, Shah berkata, beliau berasa ralat dengan insiden itu kerana tidak memasang penghadang pada tangga rumah kerana sibuk dengan aktiviti lakonannya.

“Ia satu pengajaran yang besar. Sepatutnya saya perlu memasang penghadang tangga sejak awal, tetapi kerana sibuk, saya tak sempat berbuat demikian. Apatah lagi kami baru saja berpindah ke rumah jenis teres.

“Saya dan isteri perlu peka dengan kejadian yang mungkin boleh berlaku dan kami pula terlepas pandang,” ujarnya.

Selain Alana, Shah turut mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Ayden Jasreen Jaszle, yang kini berusia empat bulan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp