Categories : Jenayah

 

KUCHING: Polis petang tadi menerima satu laporan berhubung posting dalam media sosial sebelum ini yang cuba melaga-lagakan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dev Kumar, berkata aduan itu diterima pada jam 3 petang tadi di Balai Polis Sentral di sini dan polis memulakan siasatan mengesan individu terbabit yang turut menyamar sebagai Abang Johari.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Satu posting media sosial muncul sebelum ini kononnya Abang Johari memberi “amaran” kepada Perdana Menteri.

Pejabat Ketua Menteri, dalam reaksi segera Selasa lalu menafikan Abang Johari pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa.

Dev berkata usaha sedang dilakukan untuk mengesan penulis posting terbabit yang mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Dalam kenyataan Selasa lalu, Pejabat Ketua Menteri menafikan bahawa Ketua Menteri pernah membuat apa-apa pernyataan dan mengikut apa-apa cara, termasuk pada semua isu-isu lain yang dibangkitkan di dalamnya, dan menganggap ia satu percubaan yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan nama baik Ketua Menteri.

“Ia juga dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan mewujudkan ketegangan hubungan baik antara negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp