Categories : Hiburan

 

PELAWAK, Mohamad Danial Mohd Zaini. – Foto Halimaton Sulaiman

KUALA LUMPUR: Juara program realiti Lawak Solo, Mohamad Danial Mohd Zaini, 24, menyahut cabaran dengan memikul tanggungjawab sebagai penyampai radio buat julung kali.

Anak jati Pulau Pinang itu berkata, dia menggantikan tempat Adi Fashla mengendalikan slot jam 10 pagi sehingga 1 petang di Era FM.

Danial, yang memulakan tugasnya di konti semalam, teruja dengan sambutan positif diberikan pendengar.

“Saya bersiaran secara langsung semalam dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Selepas menjalani latihan secara intensif selama sebulan sebagai persediaan, saya perlu menerima dan menyesuaikan diri dengan suasana baharu ini secepat mungkin.

“Berdebar-debar juga rasanya kerana saya perlu ke udara seorang diri, namun saya menganggap ia sebagai cabaran yang perlu ditempuh dalam memajukan diri,” katanya kepada BH Online.

Menurut pemuda ini, dia hanya berharap tidak melakukan kesilapan, atau tersalah menuturkan kata ketika bersiaran.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan panduan sejak awal-awal lagi. Setakat ini saya dapat melakukannya dengan baik.

“Tiga segmen baharu diwujudkan mengikut kesesuaian dan selera pendengar. Begitupun, saya tidak rasa terbeban dengan komitmen sebagai penyampai radio kerana tugas saya di konti hanyalah beberapa jam sehari,” katanya.

Danial berkongsi, dia menandatangani kontrak selama dua tahun sebagai penyampai bersama stesen terbabit.

Selain tugasnya sebagai penyampai radio, Danial juga bakal menjayakan program Maharaja Lawak Mega 2017 sebagai pelawak solo.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp