Categories : Semasa

 

DATUK Lat.

IPOH: Kartunis terkemuka tanah air, Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, 65, berada dalam keadaan stabil, namun tidak dapat menerima kehadiran pelawat dalam masa terdekat.

Isterinya, Datin Faezah Ahmad Zanzali, berkata suaminya yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara sudah dibenarkan keluar sejak tiga hari lalu dan kini berada di rumah, di sini. 

“Datuk (Lat) stabil dan masih perlu berehat secukupnya.

“Minta maaf kepada semua kerana kami tidak dapat menerima pelawat buat masa sekarang kerana mahu Datuk (Lat) betul-betul dapat berehat sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.  

Beliau berkata, doktor memaklumkan suaminya menjalani rawatan prosedur `angioplasty’ dan `pacemaker’ iaitu prosedur membuka semula saluran darah yang tersumbat. 

Katanya, pencipta watak `Kampung Boy’ itu masih perlu membuat beberapa rawatan susulan di IJN, sekurang-kurang sebulan sekali.

Selain itu, Faezah berkata, kaki kanan suaminya masih belum pulih dan perlu menggunakan tongkat untuk berjalan.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak, terutama rakan yang mengambil berat serta mendoakan kesihatan suaminya

“Terima kasih juga kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang datang melawat ketika Datuk (Lat) dimasukkan ke sebuah pusat rawatan di Ipoh sebelum ini,” katanya. 

BH sebelum ini melaporkan Lat dimasukkan ke sebuah hospital swasta, di sini berikutan mengalami komplikasi jantung kira-kira tiga minggu lalu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp