Categories : Hiburan

 

DAYANG Nurfaizah. – Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah, 35, berhasrat untuk membanteras gejala cetak rompak dengan mendidik peminat beliau menerusi medium media sosial.

Biarpun kecewa apabila album terbarunya turut menjadi mangsa, Dayang akur dengan evolusi teknologi digital yang pesat berkembang.

“Saya faham, zaman kini ramai yang lebih ke arah digital. Namun apabila album dicetak rompak, ia membuatkan saya terkilan kerana kami sudah meletakkan sepenuh tenaga dan usaha untuk album ini.

“Bukan mudah untuk mencari lagu yang bersesuaian dengan jiwa saya, oleh itu sedih rasanya apabila album terbaru ini dicetak rompak. Malah, pengurusan dan seluruh produksi bekerja keras untuk menghasilkan album ini.

“Mungkin saya boleh cuba mendekati peminat menerusi media sosial, yang dikira antara cara paling berkesan untuk berbuat demikian pada masa kini,” kata Dayang ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Nova 2017 di Hotel Royale Chulan Damansara, di sini.

Baru-baru ini, Dayang meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab merakam rompak album terbarunya ke laman sosial YouTube.

Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu turut tersenarai dalam menjayakan Konsert Nova 2017 yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Ogos depan.

Selain Dayang, konsert kerjasama dua negara ini turut membariskan Azlan Typewriter dan Faizal Tahir dari Malaysia, manakala Cakra Khan, Judika dan Syahrini pula mewakili Indonesia.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp